PENGENALAN

MUZIUM KRAF KUALA LUMPUR



Muzium Kraf Kuala Lumpur terletak di Blok Seri Budaya di dalam Kompleks Kraf, Seksyen 63, Jalan Conlay, Kuala Lumpur. Muzium ini diwujudkan agar masyarakat Malaysia tidak alpa pada asal-usul budaya masyarakat setempat, sebagai suatu rujukan untuk mendidik dan meningkatkan apresiasi terhadap kehalusan seni budaya kraf tempatan. Di dalam muzium ini terdapat galeri yang mempamerkan pelbagai teknologi ketukangan kraf. Proses pembuatan barangan kraf ini dipersembahkan dalam bentuk ‘diorama’ lengkap dengan sejarah, teknik dan peralatan kejuruteraan tradisionalnya sekali. Diorama yang dipamerkan antaranya pembuatan tembikar, tenun songket, tenun Pahang, tenun sambitan, tenun pua, ukiran kayu, anyaman rombong, pandai besi, pertukangan tembaga dan pertukangan perak. Galeri pula memaparkan kraf sulaman kerawang (Kebaya Nyonya), keringkam, tekatan,  gerus dan telepok. 



Muzium Kraf – Penghayatan Suatu Peradaban

Muzium Kraf merupakan pusat sumber ilmu dan rujukan. Ilmu berkaitan dengan kesenian dan kejuruteraan atau pembuatan kraf dipaparkan melaui pelbagai pengiraan berbentuk diorama dan galeri. Sambil menaburkan ilmu, paparan mengenai sejarah dan perkembangan industri kraf juga diketengahkan untuk menimbulkan kepakaran masyarakat mengenai budaya bangsa bersesuaian sengan konsep ‘hasil kraf adalah cabang jiwa sesebuah negara, mencerminkan suatu cara hidup dan ciri-ciri abadi masyarakatnya.

Segala usaha ini disalurkan melalui 3 buah muzium iaitu :

i. Muzium Warisan, Kompleks Kraf Langkawi
ii. Muzium Adat Perkahwinan, Kompleks Kraf Langkawi
iii. Muzium Kraf Kuala Lumpur, Kompleks Kraf Kuala Lumpur


Muzium Sebagai Pusat Aktiviti Keilmuan

Muzium Kraf ditubuhkan bukan atas dasar sebagai sebuah muzium untuk dilawati semata-mata. Jauh daripada itu, ia berperanan sebagai pusat sumber ilmu dan rujukan yang menjurus ke arah pendidikan peradaban bangsa menerusi senikraf. Selain meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap sejarah dan perkembangan industri kraf negara, muzium juga menekankan aspek komersial sebagai suatu cara menambah pulangan pendapatan. Oleh itu, pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan beberapa objektif. Antaranya :

 Meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap sejarah dan perkembangan industri kraf negara disamping mendapat pulangan pendapatan.

 Mengumpul dan menyebar ilmu bagi membantu pertumbuhan industri kraf.

 Memaparkan aliran dan perkembangan teknologi dan rekabentuk barang-barang kraf mengikut peraliran zaman. Dengan cara ini ianya akan dapat mempamerkan tentang kemajuan teknologi yang telah dicapai oleh masyarakat Malaysia sebelum ini.